About Me

My photo
Setiu, Terengganu, Malaysia

Saturday, May 30, 2009

Setelah Ayah Pergi


Telah tiada hari-hari kelabu
dan duri-duri melukakan
di telapak kaki seorang ayah
Segalanya terpisah setelah sekian lama
ayah berpenat lelah
membongkar dan menarik
rahsia dan ketakutan
yang sering membungkus harapku
Pergilah duka dan curiga
bersama tingginya mentari
yang teriknya tidak menggigit lagi

Ayah yang membesarkan aku
adalah anugerah maha esa
dan dia tak pernah mengeluh
biarpun di gelap malam
hari depan tetap kan terang
kerana ayah adalah semangat
yang sentiasa hidup
Kenapakah aku harus mengambil masa
untuk berterima kasih
atas kasih sayangnya

Hari ini baru aku jadi mengerti
Kegembiraanku atas keringat
dan susah payah ayah
dan pada hari ini
aku semakin terasa
kehilangan ayah.

Terkenang Semasa Dulu

Suatu waktu dahulu, saya cukup gemar menulis. Sesiapa sahaja yang mengenali saya tentunya megetahui minat saya itu. Tetapi, sekarang saya terpaksa melupakan minat saya itu kerana keadaan kesihatan yang kurang mengizinkan. Atas desakan adik saya, yang tidak mahu karya-karya saya lenyap ditelan zaman dan menjadi fosil, maka mulai hari ini insya Allah anda akan dapat membaca karya-karya saya di sini. Setiap karya saya ada kisahnya yang tersendiri. Ada yang saya tulis khas untuk individu-individu tertentu, ada juga sekadar luahan hati saya pada masa tersebut. Dan anda harus tahu karya-karya tersebut sudahpun berusia lebih kurang 20 tahun. Ada juga karya-karya tersebut yang pernah menghiasi majalah-majalah remaja.

Friday, March 20, 2009

DUA CIPTAAN BARU

Anda ingin cuba resepi baru? Saya ada mencipta 2 resepi baru.
RESEPI 1-Air Barlina
1. Masukkan sedikit Ribena ke dalam gelas.
2. Buka peti sejuk.
3. Ambil air yang kelihatan seperti air kosong.
4. Campurkan kedua-dua air tersebut.
5. Sila periksa botal air masak tersebut.
6. Pastikan botol itu sebenarnya mengandungi air barli
7. Abaikan perasaan kelakar dan minum air tersebut

RESEPI 2-Air Miltea
1. Pastikan anda memiliki 3 jug yang mengandungi air yang agak sedikit dan berbeza.
2. Anggaplah air di dalam semua jug itu adalah air yang sama.
3. Untuk menjimatkan ruang, sila campurkan ketiga-tiga air tersebut ke dalam satu jug.
4. Sila tunggu adik anda menuang air campuran tersebut ke dalam gelas untuk diminum anaknya.
5. Anda akan dapati bahawa air itu adalah gabungan air milo dan air teh.
6. Hasilnya, suasana ceria sekeluarga akan tercipta kerana anda akan ketawa beramai-ramai.

Tip tambahan: Untuk menambahkan keceriaan, potonglah puding karamel yang terlebih kukus(kerana terlupa menutup apinya) dengan menggunakan pisau pemotong daging(kerana berlaku keghaiban pisau).

Sunday, March 15, 2009

Satu permulaan...

Aku mulakan blog ini dengan penuh harapan agar hari-hari mendatang akan lebih terisi dengan blogging. Semoga hari esok masih ada ayat-ayat yang boleh kutulis.