About Me

My photo
Setiu, Terengganu, Malaysia

Sunday, June 14, 2009

inilah aku

kelakarnya. sapa yg kenal aku mesti gelak sebab nilah first time aku menaip sendiri blog ni.aku sendiri mcm x percaya betapa beraninya aku cuba melangkah ke depan.kalau nak tau mataku yang x ok ni membuat aku menaip teramat lambat. nasib baik aku pernah belajar menaip bolehlah sikit membantu.
Untuk kali pertama ni aku nak perkenalkan diri aku yang sebenar. Selama ini blog aku ni dibuka dan ditaip oleh anak sulongku, Amir. Sekarang dia dah balik ke asrama so sebab tulah aku kena cuba belajar menaip sendiri. Namun sedihnya aku lansung x tau pasal komputer ni, Harap- harap percubaan aku ni membantu aku mempelajari komputer.

Monday, June 8, 2009

Kacau - Part 2

"Apa? Kau nak balik ke asrama hari ini?" terkejut ayah setelah aku beritahu hal itu semasa sarapan pagi. Aku pula terperanjat mendengar suara ayah yang kuat itu.

"Pagi ini, ayah," aku cuba bersikap tegas setelah mengumpulkan kembali semangatku yang hampir hilang tadi.

"Kalau iapun, nantilah petang sikit. Ayah boleh hantarkan. Pagi ni ayah ada hal lain. Lagipun, kau belum berkenalan dengan Abang Wan, sepupu kau ni," mak cuba berlembut.

"Alah, tak payah tunggu petang. Malam tadi pun boleh kenalkan," aku melepaskan geramku.

"Hani!" Aku tau mak dan ayah kesal dengan kata-kataku.

"Lagipun, Hani tak boleh tinggal lama di rumah ni sekarang. Semua orang sibuk, tak ada masa untuk bersama Hani,"

"Hani, ayah faham perasaan kau tu, tapi janganlah salah sangka. Kami tak berniat nak melupakan Hani, cuma sekali-sekala saja mak dan ayah ada masa lapang," ayah juga cuba melembutkan hatiku.

"Sebab tulah Hani nak balik ke asrama je. Hani tak mahu menggangu masa lapang mak dan ayah yang cuma sekali-sekala saja tu," aku bersuara lancar tanpa menghiraukan perasaan orang tuaku. Mereka pun sebenarnya tak memahami perasaan aku. Ah! Anak yang baikkah aku ini?

Kedengaran ayah dan mak mengeluh dan tunduk menatap hidangan. Aku mencuri pandang pada Abang Wan. Dia sedang merenungku. Mungkin dia tidak percaya gadis sepertiku boleh bersikap seperti itu di depan tetamu.

*************************************************************************************
Aku kembali juga ke asrama. Seperti biasa aku berehat di ruang tamu asrama. Mak dan ayah tentu masih rancak berbual dengan Abang Wan. Aku jadi cemburu padakemesraan mereka. Ah! Biarkanlah.

*************************************************************************************
Lusanya aku ke kelas seperti biasa. Aku telah lupakan peristiwa di rumah. Aku bertekad tak akan pulang ke rumah selagi Abang Wan masih ada di situ. Dia tentu lama di rumahku sementara mendapat rumah sewa yang dekat dengan tempat kerjanya.

Cuaca hari ini cerah. Hendaknya suasana tenang hari ini tidak dicemari dengan peristiwa-peristiwa yang tidak diingini.

Sudah hampir pukul lapan pagi tetapi tidak ada juga guru yang masuk ke kelas kami. Aku sudah bosan membaca buku. Aku tutup buku lalu duduk menopang dagu, cara duduk kegemaranku. oleh kerana tempat dudukku di tepi tingkap, jadi aku pun memandang keluar. Aku tersentak bila terpandang pemuda yang sedang berjalan ke arah pejabat. Abang Wan! Apa yang dia buat di sini? Cari aku? Tapi buat apa? Aku bukannya tunang dia. Aku menanti dia keluar dari bilik pengetua. Dadaku berdebar-debar. Lama juga aku menanti. Suasana kelas yang bising tidak kuhiraukan. Ah! Ketua kelas ada, dialah yang patut mengawal kelas ini.

Entah apa yang dibuat oleh Abang Wan di dalam bilik itu. Agaknya dia sudah diangkat menjadi Pengetua sekolah ini. Masuk macam tak nak keluar-keluar lagi.

Tapi akhirnya Abang Wan keluar juga bersama Cikgu Rozak, pengetua sekolahku. Debaran di dadaku makin kencang bila mendapati mereka sedang berjalan ke arah kelasku. Aku berdoa moga-moga mereka terus ke kelas sebelah. Tapi doaku tidak dikabulkan. Mereka masuk ke kelasku juga Suasana hingar-bingar telah tiada lagi.

"Assalamualaikum!" Ucap Cikgu Rozak.

"Waalaikumussalam," kami semua termasuk aku menjawab salam dari pengetua bersahut-sahutan. Geli hati aku melihat suasana yang terbalik ini. Sellalunya kami yang memberikan salam kepada guru yang masuk.

"Pelajar-pelajar semua, orang ini adalah guru baru kelas kamu, namanya Wan Rohaizan Wan Sulaiman, lulusan universiti dari luar negeri. Saya harap kamu semua akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepadanya,"

Semua kawan-kawanku kelihatan tersenyum sedang aku terperanjat bukan main. Aku rasa seakan jantungku jatuh ke lantai simen yang sejuk itu. Nasib baik Abang Wan tak memandang ke arahku yang sedang ternganga. Semenjak tadi aku menyangka dia datang untuk menemuiku.

"Baiklah, cikgu, saya pergi dulu,"

"Terima kasih cikgu, " kami berkata serentak dengan Abang Wan, op! Cikgu Wan. Tapi suaraku tak keluar. Aku masih tidak percaya. mSelama ini kami sekelas menyangkakan Cikgu Wan Rohaizan itu, perempuan. Aku terasa hendak ketawa pula.

Tiba-tiba kau dengar rakan-rakankuketawa. Baru aku sedar semua orang telah duduk. Cikgu Wan juga sudah mula hendak ketawa. Aku terasa hendak menjerit memanggil mak dan ayah. Aku hendak balik ke rumah!

-------------------------------------------TAMAT---------------------------------------------

Cerita ini tiada kena-mengena dengan sesiapa yang telah mati, sedang mati mahupun mereka yang bakal mati.


Wednesday, June 3, 2009

Kacau - Part 1





Sudah lama aku duduk menopang dagu di sini, tapi aku masih sepi. Bulan masih bersembunyi di balik awan. Sesekali kelihatan beberapa butir bintang berkelip perlahan. Akhirnya aku berlalu dari tingkap yang kubiarkan terbuka sejak siang tadi.

"Sepinya!" batinku memberontak lagi untuk kesekian kalinya.

Sepi sungguh malam ini. Aku gelisah seorang diri. Kesal pula rasanya kerana meninggalkan radio kecilku di asrama. Aku sangkakan ia tidak berguna di rumah kerana aku terlalu sibuk bermesra dengan keluarga, tapi aku salah. Suasana hari ini seperti juga musim-musim percutian yang sudah-sudah. Semua orang sibuk dengan urusan masing-masing. Mereka tidak ada masa untuk melayanku."Menyesal aku balik!" aku geram sungguh. Ingin aku jeritkan perasaanku kepada bulan bintang dan pada lampu-lampu jalan. Tapi ah! Pekerjaan bodoh!

Dentingan jam antik di ruang tamu menusuk satu-satu ke telingaku melalui celah-celah pintu yang tidak tertutup rapat.

"Baru pukul 10.00 malam. Kalau di asrama tentu sedang rancak bergurau kalaupun tak sibuk dengan kerja-kerja sekolah. Tapi di rumah aku sudah terlalu bosan. Nak mengulangkali, otak dah beku. Nak berbual, dengan siapa? Dan nak tidur, benci! Puas dipejamkan mata, makin segar pula."

Aku ke jendela sekali lagi. Mak dan ayah tentu masih berkumpul di rumah Puan Khatijah. Kak Mizah menghadiri seminar di Pulau Pinang. Abang Idham pula tentu sedang lepak-lepak bersama teman-temannya. Salah aku juga, kalau aku ikut ke rumah Puan Khatijah tadi tentu aku tidak keseorangan begini.

Aku mendongak ke arah bulan yang baru muncul dari balik awan. Kemudian aku membilang bintang yang bertaburan di dada langit.

"Satu, dua, tiga, empat,..." Aku berhenti menghitung. Dalam kesamaran malam aku dapat melihat sebuah teksi berhenti di depan pintu pagar rumahku. Kemudian turun seorang lelaki, pemuda barangkali. Teksi itu meluncur pergi semula.

"Siapa orang itu?" Aku tertanya-tanya sendiri.

"Ah! Abang agaknya," aku menjawab sekadar untuk menenangkan hati sendiri.

"Tok! Tok!"

"Masuk ajelah!" Aku menjerit dari dalam bilik di tingkat atas. Aku yakin abang tahu untuk masuk sendiri. Walaupin begitu, aku beredar juga ke pintu.

"Assalamualaikum!" satu suara yang agak ganjil pada pendengaranku menyebabkan langkahku terhenti. Tentu bukan abang. Aku memberanikan diri untuk melangkah terus ke pintu. Aku rasa tetamu itu tidak berniat jahat memandangkan suaranya yang tidak membuat aku rasa takut.

Bila pintu terbuka, tercegat sesusuk tubuh. Betullah, aku tidak mengenalinya.

"Waalaikumussalam, er... Siapa awak ni? Cari siapa?" Gugup aku tiba-tiba, memikirkan aku sendirian saja di rumah ketika ini.

"Pakcik Hashim ada?" Tenang dia bertanya sebagai menjawab soalanku.

"Oh! Dia tidak ada,"

"Bila dia balik?"

"Entah," aku mengangkat bahu.

Suasana hening seketika. Aku tidak tahu apa yang harus kukatakan. Pemuda itu pun tercegat sambil memandang sekitar. Aku jadi serba-salah. Hendak dijemput masuk, bahaya, hendak memintanya menunggu di luar saja tak patut juga. Aku menunggu-nunggu dia bersuara.

"Tak apalah, saya akan tunggu dia balik. Boleh saya duduk di situ? " Telunjuknya lurus tertuju pada bangku di tepi rumahku.

"Silakan, tapi... Emm, awak ni dari mana?"

"Dari kampung di Segamat. Kalau sudi marilah temankan saya," dia cuba bergurau.

Gatal juga dia ni, kata hatiku. Oleh kerana aku masih was-was, jadi aku tetap tercegat di muka pintu.

Baru saja pemuda (yang aku terlupa menanyakan namanya) itu hendak duduk, mak dan ayah pun pulang. Bagus juga. Aku jadi riang sedikit.

"Eh! Wan! Bila sampai?" Ayah bertanya sebaik sahaja keluar dari kereta.

"Baru sekejap Pak cik," aku kehairanan. Nampaknya ayah kenal betul dengan dia ni.

"Masuklah Wan. Eh! Hani! Yang kau masih tercegat macam tunggul kayu mati tu kenapa? Masuk!" Mak mengejutkan aku.

Ayah masuk dahulu. Kenudian pemuda bernama Wan tadi diikuti mak aku. Aku berjalan lambat-lambat di belakang mereka. Kemudian aku tercegat lagi untuk beberapa ketika pula, menanti untuk diperkenalkan untuk tamu dari jauh itu. Malangnya baik mak mahupun ayah, keduanya seakan tidak menyedari kehadiranku di ruang tamu itu. Mereka rancak bertanyakan khabar orang-orang di kampung. Akhirnya, aku masuk ke bilik.

Hatiku membara semula. Pemuda Wan itu telah merampas peluang aku untuk bersama mak dan ayah malam ini. Entah siapalah Wan itu sehinggakan ayah dan mak sampai terlupakan aku, anak bongsu mereka yang manja ini.

Malam itu aku tidur awal setelah menetapkan hati untuk kembali ke asrama esok walaupun cuti masih ada sehari lagi.

Bersambung...

Saturday, May 30, 2009

Setelah Ayah Pergi


Telah tiada hari-hari kelabu
dan duri-duri melukakan
di telapak kaki seorang ayah
Segalanya terpisah setelah sekian lama
ayah berpenat lelah
membongkar dan menarik
rahsia dan ketakutan
yang sering membungkus harapku
Pergilah duka dan curiga
bersama tingginya mentari
yang teriknya tidak menggigit lagi

Ayah yang membesarkan aku
adalah anugerah maha esa
dan dia tak pernah mengeluh
biarpun di gelap malam
hari depan tetap kan terang
kerana ayah adalah semangat
yang sentiasa hidup
Kenapakah aku harus mengambil masa
untuk berterima kasih
atas kasih sayangnya

Hari ini baru aku jadi mengerti
Kegembiraanku atas keringat
dan susah payah ayah
dan pada hari ini
aku semakin terasa
kehilangan ayah.

Terkenang Semasa Dulu

Suatu waktu dahulu, saya cukup gemar menulis. Sesiapa sahaja yang mengenali saya tentunya megetahui minat saya itu. Tetapi, sekarang saya terpaksa melupakan minat saya itu kerana keadaan kesihatan yang kurang mengizinkan. Atas desakan adik saya, yang tidak mahu karya-karya saya lenyap ditelan zaman dan menjadi fosil, maka mulai hari ini insya Allah anda akan dapat membaca karya-karya saya di sini. Setiap karya saya ada kisahnya yang tersendiri. Ada yang saya tulis khas untuk individu-individu tertentu, ada juga sekadar luahan hati saya pada masa tersebut. Dan anda harus tahu karya-karya tersebut sudahpun berusia lebih kurang 20 tahun. Ada juga karya-karya tersebut yang pernah menghiasi majalah-majalah remaja.

Friday, March 20, 2009

DUA CIPTAAN BARU

Anda ingin cuba resepi baru? Saya ada mencipta 2 resepi baru.
RESEPI 1-Air Barlina
1. Masukkan sedikit Ribena ke dalam gelas.
2. Buka peti sejuk.
3. Ambil air yang kelihatan seperti air kosong.
4. Campurkan kedua-dua air tersebut.
5. Sila periksa botal air masak tersebut.
6. Pastikan botol itu sebenarnya mengandungi air barli
7. Abaikan perasaan kelakar dan minum air tersebut

RESEPI 2-Air Miltea
1. Pastikan anda memiliki 3 jug yang mengandungi air yang agak sedikit dan berbeza.
2. Anggaplah air di dalam semua jug itu adalah air yang sama.
3. Untuk menjimatkan ruang, sila campurkan ketiga-tiga air tersebut ke dalam satu jug.
4. Sila tunggu adik anda menuang air campuran tersebut ke dalam gelas untuk diminum anaknya.
5. Anda akan dapati bahawa air itu adalah gabungan air milo dan air teh.
6. Hasilnya, suasana ceria sekeluarga akan tercipta kerana anda akan ketawa beramai-ramai.

Tip tambahan: Untuk menambahkan keceriaan, potonglah puding karamel yang terlebih kukus(kerana terlupa menutup apinya) dengan menggunakan pisau pemotong daging(kerana berlaku keghaiban pisau).

Sunday, March 15, 2009

Satu permulaan...

Aku mulakan blog ini dengan penuh harapan agar hari-hari mendatang akan lebih terisi dengan blogging. Semoga hari esok masih ada ayat-ayat yang boleh kutulis.