About Me

My photo
Setiu, Terengganu, Malaysia

Saturday, May 30, 2009

Setelah Ayah Pergi


Telah tiada hari-hari kelabu
dan duri-duri melukakan
di telapak kaki seorang ayah
Segalanya terpisah setelah sekian lama
ayah berpenat lelah
membongkar dan menarik
rahsia dan ketakutan
yang sering membungkus harapku
Pergilah duka dan curiga
bersama tingginya mentari
yang teriknya tidak menggigit lagi

Ayah yang membesarkan aku
adalah anugerah maha esa
dan dia tak pernah mengeluh
biarpun di gelap malam
hari depan tetap kan terang
kerana ayah adalah semangat
yang sentiasa hidup
Kenapakah aku harus mengambil masa
untuk berterima kasih
atas kasih sayangnya

Hari ini baru aku jadi mengerti
Kegembiraanku atas keringat
dan susah payah ayah
dan pada hari ini
aku semakin terasa
kehilangan ayah.

Terkenang Semasa Dulu

Suatu waktu dahulu, saya cukup gemar menulis. Sesiapa sahaja yang mengenali saya tentunya megetahui minat saya itu. Tetapi, sekarang saya terpaksa melupakan minat saya itu kerana keadaan kesihatan yang kurang mengizinkan. Atas desakan adik saya, yang tidak mahu karya-karya saya lenyap ditelan zaman dan menjadi fosil, maka mulai hari ini insya Allah anda akan dapat membaca karya-karya saya di sini. Setiap karya saya ada kisahnya yang tersendiri. Ada yang saya tulis khas untuk individu-individu tertentu, ada juga sekadar luahan hati saya pada masa tersebut. Dan anda harus tahu karya-karya tersebut sudahpun berusia lebih kurang 20 tahun. Ada juga karya-karya tersebut yang pernah menghiasi majalah-majalah remaja.