About Me

My photo
Setiu, Terengganu, Malaysia

Wednesday, June 3, 2009

Kacau - Part 1





Sudah lama aku duduk menopang dagu di sini, tapi aku masih sepi. Bulan masih bersembunyi di balik awan. Sesekali kelihatan beberapa butir bintang berkelip perlahan. Akhirnya aku berlalu dari tingkap yang kubiarkan terbuka sejak siang tadi.

"Sepinya!" batinku memberontak lagi untuk kesekian kalinya.

Sepi sungguh malam ini. Aku gelisah seorang diri. Kesal pula rasanya kerana meninggalkan radio kecilku di asrama. Aku sangkakan ia tidak berguna di rumah kerana aku terlalu sibuk bermesra dengan keluarga, tapi aku salah. Suasana hari ini seperti juga musim-musim percutian yang sudah-sudah. Semua orang sibuk dengan urusan masing-masing. Mereka tidak ada masa untuk melayanku."Menyesal aku balik!" aku geram sungguh. Ingin aku jeritkan perasaanku kepada bulan bintang dan pada lampu-lampu jalan. Tapi ah! Pekerjaan bodoh!

Dentingan jam antik di ruang tamu menusuk satu-satu ke telingaku melalui celah-celah pintu yang tidak tertutup rapat.

"Baru pukul 10.00 malam. Kalau di asrama tentu sedang rancak bergurau kalaupun tak sibuk dengan kerja-kerja sekolah. Tapi di rumah aku sudah terlalu bosan. Nak mengulangkali, otak dah beku. Nak berbual, dengan siapa? Dan nak tidur, benci! Puas dipejamkan mata, makin segar pula."

Aku ke jendela sekali lagi. Mak dan ayah tentu masih berkumpul di rumah Puan Khatijah. Kak Mizah menghadiri seminar di Pulau Pinang. Abang Idham pula tentu sedang lepak-lepak bersama teman-temannya. Salah aku juga, kalau aku ikut ke rumah Puan Khatijah tadi tentu aku tidak keseorangan begini.

Aku mendongak ke arah bulan yang baru muncul dari balik awan. Kemudian aku membilang bintang yang bertaburan di dada langit.

"Satu, dua, tiga, empat,..." Aku berhenti menghitung. Dalam kesamaran malam aku dapat melihat sebuah teksi berhenti di depan pintu pagar rumahku. Kemudian turun seorang lelaki, pemuda barangkali. Teksi itu meluncur pergi semula.

"Siapa orang itu?" Aku tertanya-tanya sendiri.

"Ah! Abang agaknya," aku menjawab sekadar untuk menenangkan hati sendiri.

"Tok! Tok!"

"Masuk ajelah!" Aku menjerit dari dalam bilik di tingkat atas. Aku yakin abang tahu untuk masuk sendiri. Walaupin begitu, aku beredar juga ke pintu.

"Assalamualaikum!" satu suara yang agak ganjil pada pendengaranku menyebabkan langkahku terhenti. Tentu bukan abang. Aku memberanikan diri untuk melangkah terus ke pintu. Aku rasa tetamu itu tidak berniat jahat memandangkan suaranya yang tidak membuat aku rasa takut.

Bila pintu terbuka, tercegat sesusuk tubuh. Betullah, aku tidak mengenalinya.

"Waalaikumussalam, er... Siapa awak ni? Cari siapa?" Gugup aku tiba-tiba, memikirkan aku sendirian saja di rumah ketika ini.

"Pakcik Hashim ada?" Tenang dia bertanya sebagai menjawab soalanku.

"Oh! Dia tidak ada,"

"Bila dia balik?"

"Entah," aku mengangkat bahu.

Suasana hening seketika. Aku tidak tahu apa yang harus kukatakan. Pemuda itu pun tercegat sambil memandang sekitar. Aku jadi serba-salah. Hendak dijemput masuk, bahaya, hendak memintanya menunggu di luar saja tak patut juga. Aku menunggu-nunggu dia bersuara.

"Tak apalah, saya akan tunggu dia balik. Boleh saya duduk di situ? " Telunjuknya lurus tertuju pada bangku di tepi rumahku.

"Silakan, tapi... Emm, awak ni dari mana?"

"Dari kampung di Segamat. Kalau sudi marilah temankan saya," dia cuba bergurau.

Gatal juga dia ni, kata hatiku. Oleh kerana aku masih was-was, jadi aku tetap tercegat di muka pintu.

Baru saja pemuda (yang aku terlupa menanyakan namanya) itu hendak duduk, mak dan ayah pun pulang. Bagus juga. Aku jadi riang sedikit.

"Eh! Wan! Bila sampai?" Ayah bertanya sebaik sahaja keluar dari kereta.

"Baru sekejap Pak cik," aku kehairanan. Nampaknya ayah kenal betul dengan dia ni.

"Masuklah Wan. Eh! Hani! Yang kau masih tercegat macam tunggul kayu mati tu kenapa? Masuk!" Mak mengejutkan aku.

Ayah masuk dahulu. Kenudian pemuda bernama Wan tadi diikuti mak aku. Aku berjalan lambat-lambat di belakang mereka. Kemudian aku tercegat lagi untuk beberapa ketika pula, menanti untuk diperkenalkan untuk tamu dari jauh itu. Malangnya baik mak mahupun ayah, keduanya seakan tidak menyedari kehadiranku di ruang tamu itu. Mereka rancak bertanyakan khabar orang-orang di kampung. Akhirnya, aku masuk ke bilik.

Hatiku membara semula. Pemuda Wan itu telah merampas peluang aku untuk bersama mak dan ayah malam ini. Entah siapalah Wan itu sehinggakan ayah dan mak sampai terlupakan aku, anak bongsu mereka yang manja ini.

Malam itu aku tidur awal setelah menetapkan hati untuk kembali ke asrama esok walaupun cuti masih ada sehari lagi.

Bersambung...

3 comments: